Hal ini terbukti apabila kerajaan menanggung kerugian RM380 juta pada tahun lalu akibat penyelewengan subsidi bahan api yang dikhaskan untuk nelayan.

Ketirisan itu sekali gus me­ngakibatkan kerajaan menanggung nilai subsidi minyak diesel dan petrol untuk nelayan sebanyak RM1.1 bilion tahun lalu.

Semua itu berlaku ekoran sikap tamak serta tidak berterima kasih sesetengah nelayan dan segelintir pembekal tidak bertanggungjawab yang mahu me­ngaut untung daripada kebaikan kerajaan umpama ‘diberi susu, dibalas tuba’.

Menurut sumber, taktik yang sering digunakan oleh nelayan tamak adalah dengan menjual minyak diesel dan petrol kepada nelayan asing yang ditemui di sempadan perairan negara selepas mereka mendapatkan bahan api dengan harga subsidi tersebut dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Ujarnya, kegiatan itu sekali gus membolehkan nelayan mengaut keuntungan yang tinggi kerana mereka menjual bahan api bersubsidi tersebut dengan harga pasaran sedangkan nilai yang dibayar setelah ditolak subsidi kerajaan ha­nyalah RM1.65 sen seliter.

“Selain memperoleh keuntu­ngan berbentuk wang, sebagai balasan, nelayan asing itu juga akan memberikan hasil tangkapan kepada mereka yang kemudiannya akan didaratkan di jeti LKIM bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Mereka kemudian akan memperoleh insentif sebanyak RM0.20 bagi setiap kilogram ikan dan ini bermakna mereka mendapat keuntungan berganda iaitu hasil jualan minyak bersubsidi dan insentif ikan yang didaratkan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.

Ujar sumber, selain daripada penglibatan nelayan, minyak diesel dan petrol itu juga diseleweng oleh pihak pembekal tindak bertanggungjawab ketika dalam urusan penghantaran bahan api ber­kenaan ke jeti-jeti LKIM.

“Pemandu lori yang ditugaskan menghantar bahan api bersubsidi ini akan berada di jeti LKIM kira-kira 30 minit kononnya untuk memindahkan minyak diesel dan petrol seperti yang ditetapkan namun sebenarnya pemindahan bahan api tidak berlaku.

“Sebaliknya, mereka hanya ‘singgah’ di jeti tersebut kerana setiap lori mempunyai alat pengesan untuk pemantauan pihak berkuasa dan seterusnya mereka akan menjual bahan api bersubsidi itu untuk kegunaan industri dan turut diseludup ke sempadan,” katanya.

Jelas sumber, kegiatan itu bukan sahaja berlaku di semenanjung malah turut dikesan berleluasa di perairan Sabah yang didalangi pemborong berlesen yang sepatutnya mengeksport minyak tidak bersubsidi.

Katanya, kebiasaannya pemborong berlesen akan bersekongkol dengan sesetengah nelayan dengan mengumpulkan minyak diesel dan petrol bersubsidi daripada mereka yang diberikan kemudahan tersebut.

“Nelayan yang telah mendapatkan minyak diesel dan petrol bersubsidi dari jeti LKIM akan ke tengah laut untuk memindahkan bahan api tersebut ke dalam kapal milik pemborong berlesen. Sete­rusnya, bahan api itu akan dijual kepada negara jiran,” ujarnya.

Tambah sumber, kegiatan ini secara tidak langsung membebankan kerajaan kerana perlu mengeluarkan modal yang besar bagi menanggung subsidi walaupun sebenarnya terdapat ‘orang tengah’ yang menikmati keuntungan hasil daripada aktiviti penyelewengan.