Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman bermula hari ini sehingga Sabtu ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu, semua suspek lelaki berumur antara 34 hingga 49 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada 9.05 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Difahamkan, semua suspek masing-masing menjawat Gred 44 hingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan berkhidmat di Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut sumber, suspek ditahan antara pukul 11.30 pagi hingga 10 malam iaitu enam orang PTD ditahan di Kompleks B JPM manakala Timbalan Ketua Pengarah berpangkat JUSA B ditahan di ibu pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. - UTUSAN ONLINE