Apa yang mengejutkan, siasatan sedang dibuat bagi mengesan sama ada pelaku kes itu terlibat mengggunakan kira-kira RM1.2 juta untuk kegiatan perjudian selain membelanjakan wang tersebut untuk membeli beberapa barangan mewah antara telefon bimbit, kasut, jam ta­ngan, beg tangan dan kereta.

Menurut sumber, suspek juga disiasat sama ada terlibat memalsukan dokumen termasuk wang kutipan tabung untuk ke­gunaan pelajar asnaf yang ingi­n meneruskan atau melanjutkan pengajian menerusi bantuan agensi kerajaan negeri tersebut untuk kepentingan dirinya.

“Siasatan menjurus bagaimana suspek boleh memperolehi wang kutipan tabung asnaf yang sepatutnya digunakan oleh pelajar miskin atau yang berkelayakan namun telah disalahgunakan.

“Wang biasiswa yang disediakan oleh agensi itu diterima daripada dua saluran iaitu daripada kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), termasuk untuk kegunaan pelajar asnaf,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan reman seorang bekas pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan negeri bagi membantu siasatan penyelewengan wang biasiswa yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta.

Suspek ditahan di Felda Menggong, Alor Gajah pada pukul 7.15 malam Khamis lalu oleh sepasukan anggota SPRM Melaka dan siasatan awal mendapati suspek telah memasukkan wang biasiswa pelajar di sebuah sekolah agama milik kerajaan negeri bernilai lebih RM35,400 ke dalam akaun peribadinya menerusi satu transaksi terkini.

Hari ini, Mahkamah Majistret Ayer Keroh membenarkan suspek yang berusia 31 tahun itu disambung reman selama empat hari bermula esok sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Utusan Malaysia difahamkan, siasatan turut dibuat bagi me­ngenal pasti lebihan wang tunai, bagaimana suspek yang merupakan kakitangan pentadbiran mampu meluluskan baucer dan dokumen berkaitan wang biasiswa tersebut selain kerap me­lancong ke luar negara.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan mengenai lanjutan perintah tananan reman ke atas lelaki berkenaan.