Itu tindakan yang dipercayai dilakukan oleh kebanyakan selebriti tanah air dan secara tidak langsung menyukarkan sumber pendapatan mereka dikesan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hal ini bukan sahaja mengelirukan pihak LHDN malah mengurangkan perolehan cukai tahunan kerajaan sedangkan kebanyakan selebriti mendapat pulangan lumayan hasil daripada penglibatan mereka sebagai penyanyi, pelakon, pelawak, duta produk dan sebagainya menerusi industri hiburan negara.

Menurut sumber, taktik tersebut sering digunakan oleh sele­briti yang mendapat undangan memeriahkan sesuatu majlis seperti mengacara dan menyanyi dengan bantuan ‘orang tengah’ seperti syarikat pengurusan majlis dan sebagainya.

Katanya, kebiasaannya sele­briti ternama akan dibayar antara RM40,000 hingga RM80,000 dalam menjayakan sesuatu maj­lis dan mereka akan menerima deposit sebelum majlis dan baki bayaran sejurus selepas tamat majlis dalam bentuk tunai.

“Syarikat pengurusan majlis sudah tentu merekodkan urusan itu bagi mengurangkan kadar bayaran cukai syarikat mereka namun kebanyakan selebriti tidak berbuat demikian sebagai satu cara mudah untuk lari daripada dikenakan cukai pendapatan yang tinggi.

“Perkhidmatan yang ditawarkan itu akan menjadi urusan ‘atas angin’ kerana tidak ditaksirkan dalam borang cukai pendapatan mereka sekali gus mengaut keuntungan 100 peratus untuk diri sendiri dan hasilnya, mereka mampu hidup mewah dengan barangan berjenama dan sering bercuti di luar negara,” katanya di sini hari ini.

Ujar sumber, hakikatnya, mereka gagal menunaikan tanggungjawab kepada negara dalam isu pembayaran cukai dan isu ini juga telah lama menjalar dalam industri hiburan tanah air tanpa sebarang usaha untuk mengekang situasi sama daripada terus berlanjutan.

Tegasnya, penguatkuasaan secara lebih menyeluruh perlu dilaksanakan memandangkan industri seni tanah air mempunyai skop kerja yang besar dan melibatkan kumpulan selebriti yang besar dan semakin meningkat saban hari.

“Sebagai satu langkah, mungkin orang tengah dalam isu ini perlu dilesenkan dan mereka ditugaskan untuk merekodkan setiap undangan perkhidmatan selebriti tersebut supaya memudahkan pihak bertanggungjawab untuk menentukan cukai pendapatan tahunan yang sepatutnya dibayar.

“Selebriti yang bertapak dalam industri hiburan tanah air perlu lebih berdisiplin dalam menjalankan pekerjaan mereka dan harus bertanggungjawab dalam isu cukai. Perkara ini bukan isu remeh kerana boleh sampai ke tahap penipuan,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya selebriti mengambil serius isu pembayaran cukai, mereka boleh menjadi ikon yang baik kerana menjalankan tanggungjawab kepada negara dan secara tidak langsung menjadi ikutan masyarakat supaya tidak culas menjelaskan cukai.