Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, polis berdepan masalah selepas serbuan dibuat hingga premis itu kembali beroperasi seperti biasa kerana mendapat lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Walaupun polis mempunyai kuasa membuat serbuan tetapi PBT masih memberi lesen yang membolehkan premis terbabit dibuka semula.

“Ini masalah dihadapi polis di Selangor. Sepatutnya apabila premis diserbu dan disahkan judi dalam talian, ia patut ditutup te­rus oleh PBT, tetapi di Selangor ada masalah, kurang kerjasama kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Sentuhan Kasih sempena sambutan Tahun Baharu Cina di pekan Tampoi di sini hari ini.

Nur Jazlan mengulas kempen perang habis-habisan terhadap premis perjudian dalam talian di seluruh negara yang diisytiharkan Bukit Aman hujung tahun lalu belum terlaksana sepenuhnya.

Rangkaian sindiket perjudian dalam talian di Selangor dikesan masih aktif berbanding di kebanyakan negeri lain.