Timbalan Pengarah Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Eric See-To berkata, akibat daripada arahan sedemikian telah menyebabkan penduduk di Kampung Sungai Lembu dekat Mengkuang di negeri itu mengalami penderitaan kesihatan selain terkena kanser kerana kilang berkenaan mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

Tambahan pula, katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengesahkan bahawa kilang memproses habuk kayu untuk kegunaan penapis karbon yang telah beroperasi secara haram lebih dari 10 tahun itu tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran udara yang sepatutnya.

“Jika arahan ini betul dan operasi kilang ini telah menyebabkan kan­ser boleh dibuktikan, maka kerajaan Negeri Pulau Pinang layak dikenakan saman oleh mangsa yang mengalami masalah kesihatan terutama mereka yang telah disahkan kanser kerana kesan pencemaran itu.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang masih ‘berhutang’ dengan penduduk di Sungai Lembu dan rakyat negeri itu seluruhnya atas penjelasan mengapa kilang itu dibenarkan beroperasi secara ha­ram walaupun ia telah banyak kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak bertahun-tahun dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isu kilang itu pernah dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Penanti dari PKR, Dr. Norlela Ariffin mengenai banyak kilang haram dibiarkan beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Semalam, Ahli Exco Kerajaan Ne­geri Pulau Pinang, Phee Boon Poh direman selama lima hari bagi membantu siasatan serbuan pihak berkuasa terhadap kilang berkenaan pa­da Khamis lalu.

Dalam pada itu, Eric berkata, sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr M. Sukumar menge­sah­kan 11 daripada 500 penduduk di Sungai Lembu menderita akibat kanser dan ang­ka itu boleh diterjemahkan bahawa nisbah kadar penduduk di situ yang mengalami kanser adalah seramai 2,200 orang daripada kalangan 100,000 penduduk.

Ini bermakna, kata beliau, kadar kanser di kawasan berkenaan adalah 2,342 peratus lebih tinggi daripada purata kanser kebangsaan sebagaimana laporan Institut Kanser Kebangsaan iaitu hanya sebanyak 86.9 peratus dan 89 peratus bagi setiap 100,000 penduduk lelaki dan perempuan.