Idris Saad, 47, berkata, mereka sebenarnya berkawan baik dan dia buntu mengapa rakan yang sering minum bersamanya di warung berdekatan bertindak sedemikian terhadap kedua-dua anaknya itu.

“Malah, dua hari sebelum kejadian dia (suspek) ada datang ke rumah untuk meminta maaf dengan saya, tapi saya tak pasti sebab apa dan saya ingat mungkin sebab dia selalu pinjam wang dan kami sering belanja dia minum.

“Saya tak fikir apa-apa yang pelik sebab dia pinjam duit pun bukan banyak, hanya puluh-puluh ringgit sahaja, mungkin dia rasa bersalah atau malu. Tapi, tiba-tiba dia serang keluarga saya sehingga nyawa dua anak saya melayang,” katanya ketika ditemui di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai di sini hari ini.

Dalam tragedi menyayat hati kira-kira pukul 11.45 malam kelmarin, Nurul Hanim dan Mohammad Hafiz yang sedang tidur dipercayai ditetak dan dikelar seorang lelaki berusia 49 tahun yang juga kenalan bapa mereka.

Tambah Idris, dia reda dengan pemergian dua anaknya itu dan menyerahkan kepada Allah atas apa yang berlaku, namun pada masa sama berharap siasatan terhadap kes itu dilakukan secara menyeluruh.

“Saya pun tidak pasti mengapa dia menjerit memanggil nama saya pada malam kejadian kerana saya keluar menangkap ikan di laut kira-kira pukul 10 malam sebelum bergegas pulang sebaik menerima panggilan dari ahli keluarga.

“Sebelum ini pun dia sudah beberapa kali mengamuk termasuk mencederakan abang iparnya selain menyerang beberapa penduduk lain sebelum membunuh anak saya,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan mereka, Omar Bakar, 53, yang menganggap suspek seperti adiknya berkata, lelaki itu pernah mengadu kepadanya bahawa dia tertekan selepas ditinggalkan isteri dan dua anaknya.

“Saya sering nasihatkan dia supaya bersabar dan malam kejadian pun dia ada datang jumpa saya beritahu dia tertekan dan saya suruh dia ambil air sembahyang sebelum kami solat Maghrib bersama.

“Selepas itu saya tak tahu dia pergi mana sampailah anak saya telefon beritahu dia mengamuk lagi di rumah Idris dan membunuh kanak-kanak itu,” ujarnya yang kecewa dengan tindakan suspek. - UTUSAN ONLINE