Mangsa yang ha­nya mahu dikenali sebagai Tan berkata, dia berasa terhina dan trauma ke­rana diperlakukan sedemikian.

Jelas penuntut kolej swasta berusia 21 tahun itu membe­ri­tahu, selepas ti­ga hari laporan polis dibuat, se­seorang yang didakwa mewakili lelaki itu me­ng­hubunginya melalui aplikasi WeChat.

“Dia bertanya berapa jumlah bayaran yang diperlukan supaya laporan kes ini ditarik balik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan dan dua lelaki dipercayai bapa dan teman lelaki mangsa.

Mangsa yang memakai topeng penutup hidung berkata, lebih menyedihkan kejadian itu berlaku pada hari pertama dia be­kerja secara sambilan di sebuah bar.

“Saya tampil pada hari ini supaya selepas ini tidak ada wanita lain yang menjadi mangsa dan pada masa sama berharap supaya pihak polis dapat menyiasat secara terperinci,” ujarnya.

Sebelum ini, mangsa membuat laporan polis kerana mendakwa lelaki berkenaan memintanya me­­nemani ke kereta suspek yang di­letakkan di kawasan gelap ti­dak jauh dari bar berkenaan.

Suspek didakwa bertindak menciumnya serta meraba kemaluan selain bertanya sama ada mangsa sanggup melakukan seks namun permintaan berkenaan ditolak.

Di samping itu, lelaki ber­ke­naan juga didakwa menawarkan wang antara RM300 hingga RM500 untuk meniduri mangsa menyebabkan Tan tergamam dan hanya mampu menangis.

Sementara itu, Cheng Guan berkata, ahli keluarga mangsa tam­pil menemuinya kerana me­ngetahui sebelum ini PCM sudah banyak membantu demi menjaga kepentingan rakyat di negeri ini.