Mohd. Sukri Kaman
MOHD. SUKRI

Namun tindakannya ternyata membawa padah apabila perbuatannya diketahui ketika siasatan polis dijalankan terhadap remaja berusia 19 tahun itu yang kemudiannya mengaku membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, remaja berkenaan telah datang untuk membuat laporan polis kira-kira pukul 10 pagi semalam.

“Awalnya, dia memaklumkan dia disamun kira-kira lapan lelaki ketika berada di lokasi berkenaan. Namun ketika pegawai penyiasat merakam percakapan suspek, dia mendapati keterangan remaja itu meragukan.

“Apabila dibawa ke lokasi itu untuk menceritakan semula kejadian, barulah dia mengaku membuat laporan palsu hanya kerana mahu mengelak membayar denda kehilangan kad pengenalan,” katanya di sini hari ini.

Jelas Mohd. Sukri, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak berbuat demikian hanya semata-mata ingin mengelakkan daripada dikenakan denda kerana kehilangan kad pengenalan. - UTUSAN ONLINE