Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya mengesan sekurang-kurangnya tiga suspek kumpulan penjenayah itu di Daerah Timur Laut dan Barat Daya di sini.

Menurut beliau, kumpulan itu dikesan merompak sebuah rumah membabitkan kerugian RM20,000 di Sungai Ara 2, Bayan Lepas, dekat sini dua hari lalu.

“Selain barangan kemas, suspek turut menyamun wang tunai berjumlah RM3,000, dua telefon bimbit iPhone 6 Plus dan Samsung Note 5 serta seutas jam ta­ngan jenama Tag Heur.

“Bagaimanapun setakat ini, masih belum ada tangkapan tetapi kita terus menjalankan siasatan lanjut dan meningkatkan usaha mengesan suspek terlibat,” kata­nya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat yang mengadakan lawatan kerja sebelum bersara pada Julai ini di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) nege­ri di sini hari ini.

Mengulas lanjut kejadian rompakan di Bayan Lepas itu, Zainol berkata, pihaknya sedang mendapatkan kerjasama Bahagian Forensik untuk menyiasat sehelai kain yang digunakan suspek untuk mengikat mangsa.

“Kita juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah itu bagi mengesan suspek yang berjaya melarikan diri ke arah hutan di bahagian belakang rumah tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, kumpulan sama turut dikesan melakukan jenayah samun di Bukit Gambir Jumaat lalu membabitkan kerugian ribuan ringgit.

“Suspek Geng Rantau tersebut dikesan memasuki negara ini menggunakan permit pelancongan sah sebelum pulang ke negara mereka selepas mengaut keuntungan ribuan ringgit untuk digunakan bagi me­nyambut Aidilfitri,” jelasnya.