Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, keempat-empat suspek berkenaan telah ditahan di lokasi berasingan di sekitar Kuala Krai bermula pukul 10 hingga 12 tengah malam kelmarin dan semalam.

“Keempat-empat suspek yang berusia di antara 25 hingga 40 tahun ini merupakan penduduk tempatan dan bekerja kampung. Mereka direman tujuh hari bermula tarikh mereka ditahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan hospital sempena sambutan Hari Polis Ke-210 Tahun di Wad Cempaka di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini.

Baru-baru ini, seorang wanita warga emas, Rokiah Mamat, 61, ditemukan terbaring di dapur rumahnya dalam keadaan berlumuran darah pada badan dan kepala dipercayai akibat ditikam dalam satu kejadian samun.

Sehari selepas kejadian, empat lelaki berusia 30 hingga 40-an ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Penahanan terbaharu empat lelaki semalam pula menjadikan lapan suspek ditahan polis setakat ini. -UTUSAN ONLINE