MOHD. NOR YHAZID IDRIS
MOHD. NOR YHAZID

Kedua-dua suspek yang berusia 18 dan 23 tahun ditahan berasingan di Jalan Merdeka dan Kem Terendak, Sungai Udang di sini pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, dua suspek itu dipercayai terlibat dalam enam kes samun dan ragut antara 10 Disember 2018 hingga 2 Februari lalu.

"Suspek pertama yang berusia 18 tahun iaitu penganggur ditahan sepasukan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Jalan Merdeka di sini kira-kira pukul 6 petang pada 5 Februari lalu.

"Susulan penangkapan suspek itu, seorang lagi suspek yang juga anggota tentera ditahan pada hari sama pada pukul 11 malam di Kem Terendak, Sungai Udang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian terbaharu Sabtu lalu, suspek dipercayai menyamun seorang wanita di hadapan sebuah rumah di Jalan Tun Perak di sini, mengakibatkan kerugian kira-kira RM300.

Mohd. Nor Yhazid berkata, polis turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 dan pelbagai jenis telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah itu.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, katanya. - UTUSAN ONLINE