Perhimpunan tersebut yang diadakan di Lintasan Deasoka di Jalan Gaya pada pukul 8.30 pagi dicemari dengan pergelutan antara para peserta dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Pergelutan tersebut berlaku selepas anggota penguat kuasa cuba meleraikan perhimpunan berkenaan, namun tidak dipatuhi menyebabkan pihak polis terpaksa bertindak menahan lapan peserta untuk mengawal keadaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, kesemua mereka ditahan kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Saya akan maklumkan selepas ini apa tindakan selanjutnya, sekarang polis masih ambil keterangan semua yang ditahan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Bersih 2.0 (Sabah), Asraf Sharafi meminta polis melepaskan serta-merta peserta himpunan itu kerana tindakan itu adalah tidak wajar.

“Pihak berkuasa juga tidak patut menggunakan Akta Perhimpunan Aman sebagai alasan untuk menghentikan sebarang perhimpunan rakyat sebagai menghormati Artikel 10 Perlembangaan Persekutuan, serta semangat Malaysia Baharu yang lebih demokratik dan berteraskan hak untuk bersuara serta berhimpun.

“Tindakan ini adalah sangat tidak wajar dan langkah polis menangkap mereka adalah sangat ke belakang dan menunjukkan kerajaan tidak serius untuk mengangkat suara rakyat marhaen.

Difahamkan, antara tuntutan peserta perhimpunan itu ialah berkaitan pendidikan, kemiskinan, tanah adat, keselamatan, rumah rakyat, pengangkutan awam, alam sekitar serta peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.-UTUSAN ONLINE