Itu satu daripada dua dakwaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat perkapalan milik syarikat kerajaan (GLC), MISC Bhd., selepas disyaki terlibat perbuatan rasu­ah dan salah guna kuasa melibatkan wang dianggarkan lebih AS$27.8 juta (RM108.5 juta).

Menurut sumber, pihak SPRM menerima maklumat terdapat pegawai di MISC Bhd., disyaki bersubahat dengan beberapa kontraktor mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja penyelenggaraan kapal milik syarikat berke­naan tetapi tidak dilaksanakan sejak 2010 hingga 2013.

Jelas sumber itu, serbuan terhadap beberapa syarikat berkaitan telah dilakukan di ibu negara dan Johor pada 28 Februari lalu.

“Seramai sembilan orang saksi termasuk empat pegawai kanan MISC Bhd., diambil keterangan serta beberapa dokumen berkaitan turut dirampas.

“Dalam kes itu, pihak SPRM juga menyiasat dakwaan mengenai kerja penyelenggaraan kapal yang mengalami kerugian sebanyak AS$12 juta (RM46.8 juta) kerana proses pelantikan kontraktor tidak mengikut prosedur perolehan ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan melibatkan GLC tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, pihaknya khuatir akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.