Menurut sumber, keadaan itu menyebabkan lima warga Ero­pah serta seorang warga Amerika Syarikat (AS) berani mengembangkan dakyah yang didakwa mengikut acuan al Quran dan sunah itu sehingga merancang me­wujudkan pusat pembelajaran bagi menyebarkan fahaman ideologi Salafi Jihadi di Asia Tenggara.

Ujarnya, beberapa lokasi seperti kediaman, premis dan mad­rasah sekitar negeri tersebut turut dijadikan sebagai tempat pengajian menggunakan kitab yang boleh menyuburkan kefahaman radikal serta ekstrem sebagai usaha mengukuhkan fahaman selain gerakan Salafi Jihadi.

“Mereka juga menyasarkan wanita tempatan untuk dijadikan sebagai isteri bagi mendapat peluang tinggal lebih lama di Malaysia dan berusaha memohon kerakyatan secara tetap.

“Dua daripada lima warga Eropah yang ditahan itu dipercayai terlibat dalam kumpulan ekstre­mis di negara asal manakala war­ga AS pula didapati mempunyai hubungan dengan individu yang disiasat oleh pihak berkuasa di negaranya kerana terlibat elemen Daesh di Syria,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut sumber, seorang lagi suspek warga Asia Barat yang ditahan turut merancang membina sebuah sekolah agama bermodelkan Dar Al Hadith di Dammaj, Ya­man serta memperoleh dana dari beberapa negara di benua asalnya.

Kata sumber, kesemua suspek dipercayai menggunakan konsep ‘Al Wala Wal Bara’ iaitu taat kepada pemimpin yang dilantik serta menolak perkara batil versi mereka dalam memahami al Quran dan sunah.

“Selain itu, mereka juga meng­kafirkan sesama umat Islam yang tidak sealiran fikrah dengan perjuangannya sehingga melabelkan sebagai bidaah, taghut (tidak mengikut hukum Allah) dan tidak Islamik,” ujarnya.