Wakil Badan Pengerusi Bersama (JMB) tiga hartanah itu, Choong Li Loh berkata, laporan sudah dibuat pada hari rusuhan.

"Kita sudah meminta bantuan pihak polis dan kerajaan untuk tindakan lanjut.

"Buat masa ini juga, kita sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah kerugian yang ditanggung," katanya dalam sidang akhbar di hotel E-City, di sini hari ini.

Menurut Li Loh, tindakan perusuh terhadap bangunan OneCity @ USJ 25 adalah satu salah faham.

Jelasnya, OneCity @ USJ 25 adalah pembangunan yang dimiliki oleh 939 pemilik individu dan bukan milik syarikat pemaju MCT Berhad atau One City Development Sdn. Bhd. (One City)

"Pemilik tanah Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 adalah dimiliki oleh One City dan tidak ada kaitan langsung dengan kami.

"One City yang dimiliki oleh MCT berhad hanya penyewa bersama beberapa syarikat multinasional yang lain dan bukannya pemilik bangunan ini," ujarnya.

Terdahulu, cermin dan pintu masuk bangunan Menara MCT pecah dipercayai dilakukan oleh kumpulan perusuh yang berarak dari Kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, pada Selasa lalu

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu turut menyaksikan sebuah kereta jenis Toyota Velfire dirosakkan oleh kumpulan perusuh berkenaan. - UTUSAN ONLINE