PETALING JAYA 24 Dis. - Presiden Persatuan India Malaysia dan lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pelbagai pertuduhan berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor, bulan lalu.
M. Manimaran, 38, yang diwakili peguam bela, John Das, didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menghalang tugas penjawat awam, merusuh dan mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.
Sementara itu, Mohammad Shahril Danniel Sajel, 22, Mohammad Saifullah Abdullah, 31, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, 29, Akmal Izzat Aziz, 24, serta Mohd. Norul Ismawi Islahuddin, 40, didakwa atas satu pertuduhan iaitu berada dalam rusuhan dan ketika itu mempunyai senjata.
Dengan pendakwaan hari ini, 24 lelaki telah didakwa di mahkamah atas pelbagai pertuduhan iaitu tujuh didakwa pada 4 Disember manakala 11 lagi dituduh pada 12 Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, Manimaran didakwa menghalang pegawai dan anggota polis daripada menjalankan tugas, menghalang laluan kereta peronda polis dan mendatangkan kecederaan parah terhadap lelaki bernama Sulaiman Abdullah, 32, di kuil itu antara pukul 2 pagi dan 1.30 tengah hari, 26 November lalu.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 186, 147 dan 325 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali. Seksyen 186 akta sama mewajibkan hukuman denda atau sebat.
Sementara itu, lima lelaki, Mohammad Shahril Danniel Sajel, 22, Mohammad Saifullah Abdullah, 31, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, 29, Akmal Izzat Aziz, 24 dan Mohd. Norul Ismawi Islahuddin, 40, didakwa berada dalam rusuhan dan kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang individu lain.
Pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di kuil itu antara 2 pagi dan 1.30 tengah hari, 26 November lalu.
Mahkamah membenarkan Manimaran diikat jamin RM18,000 manakala antara RM5,000 dan RM6,000 bagi tertuduh lain. Kesemuanya disyaratkan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan 17 Januari depan.