Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, tangkapan terbaharu itu adalah penambahan daripada 42 tangkapan yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, semalam.

“Setakat pukul 8 pagi ini, jumlah tangkapan adalah sebanyak 48 orang. Operasi kita masih berjalan dan kita tidak boleh berkongsi maklumat lain buat masa ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mohamad Fuzi memaklumkan jumlah tangkapan berhubung insiden kekacauan di kuil tersebut meningkat 12 orang lagi menjadikan jumlah tangkapan sebanyak 42 orang berbanding 30 orang seperti yang didedahkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi Isnin lalu, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.

Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motosikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh. - UTUSAN ONLINE