Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 12 orang berbanding 30 orang yang ditahan seperti yang didedahkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. 

Menurutnya, polis masih memburu mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut selain berusaha sedaya upaya memulihkan keadaan selepas kekacauan yang berlaku di kawasan tersebut. 

“Saya nak maklumkan bahawa keadaan di sekitar kuil tersebut kini hampir pulih sepenuhnya. Walaupun masih terdapat kira-kira 25 hingga 30 individu berkumpul pada tengah hari semalam, namun tiada kejadian tiada apa-apa berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini. 

Dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin [email protected] Rasid akan memangku tugas Ketua Polis Perak berkuatkuasa hari ini bagi 
menggantikan Datuk Hasnan Hassan yang bersara wajib.

Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya berharap semua pihak dapat mengawal emosi dan sentimen masing-masing agar tidak mengeluarkan sebarnag kenyataan yang boleh mewujudkan suasana tegang.

Sementara itu, beliau mengesahkan polis menahan pengendali blog Papa Gomo berikutan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan. 

Menurutnya, penahanan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan satu video yang dikeluarkan di blog Papa Gomo kerana cuba menaikkan sentimen orang ramai berkaitan isu perkauman. 

“Kita tidak mahu perkara berkaitan isu perkauman ini dibangkitkan secara luar biasa dan jika keadaan ini dibiarkan, ia akan menyebabkan masalah lain 
berkaitan isu keselamatan,” jelasnya. 

Difahamkan, Papa Gomo yang menggunakan akaun media sosial Facebook Sir Azri telah memuat naik satu video bertajuk ‘Ini Tanah Melayu’ kelmarin yang telah ditonton lebih 300,000 dan dikongsi hampir 10,000 pengguna. 

“Polis juga akan mengambil tindakan sama kepada semua pihak yang cuba menggunakan media sosial untuk menaikkan sentimen perkauman yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya. - UTUSAN ONLINE