Jumlah terbaharu itu menjadikan sebanyak 66 orang dicari bagi membantu siasatan setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, pihaknya meminta kerjasama individu yang gambarnya disiarkan untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka juga diminta untuk menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Deputi Superintenden G.K. Gopal di talian 019-2714387.

“Selain itu, mereka juga boleh menghubungi Asisten Superintenden (ASP) Siasatan Perundangan JSJ Selangor, ASP S. Neeraj Durai di talian 016-3565622 atau Pegawai Siasatan Databank DNA JSJ Selangor, Inspektor Norsiah Hussin di talian 012-7989973 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, sebanyak 28 individu dicari bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.

Dalam kejadian pada 26 November lalu, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.

Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motosikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh.

Turut cedera dalam kejadian tersebut ialah seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim manakala jentera dinaiki turut mengalami kerosakan akibat diserang kumpulan perusuh. - UTUSAN ONLINE