Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, sesiapa sahaja yang terbabit dengan insiden itu diminta untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai saksi-saksi juga diminta untuk menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat di talian 019-6000903.

“Mereka juga boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Deputi Superintenden G.K. Gopal di talian 019-2714387 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.

Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motosikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh.

Turut cedera dalam kejadian tersebut ialah seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang diserang perusuh. - UTUSAN ONLINE