Rumah kayu yang dijadikan lokasi untuk bermalam dan berehat itu bagaimanapun diserbu sepasukan pe­gawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan Balai Polis Rungkup pada pukul 7.30 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Pe­rak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, serbuan tersebut membantut­kan hasrat ke­semua PATI berusia lingkungan 20 hingga 71 tahun untuk pulang me­nyambut bulan Ramadan di kampung masing-masing.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kesemua mereka mendapati 39 daripadanya mempunyai visa tamat tempoh manakala 41 orang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

“Tangkapan ini melibatkan 69 lelaki dan 11 perem­puan.Kesemua mereka me­ru­pakan warga Indonesia ya­ng­ kebanyakan datang da­ri kawasan Lembah Klang.

“Siasatan mendapati me­reka ingin pulang ke Indonesia untuk menyambut Ramadan namun menggunakan jalan yang salah kerana visa sudah tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Hilir Perak di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, ke­semua PATI itu ditempatkan di rumah berkenaan yang dijadikan sebagai transit sebelum meneruskan perjalanan menggunakan jalan laut ke Dumai, Indonesia.

Menurut beliau, untuk pu­lang ke kampung halaman masing-masing, setiap daripada mereka membayar kira-kira RM600 ke RM800 seorang kepada ejen yang juga merupakan warga Indonesia.