Pengarah AADK Negeri, Mahadzir Elias berkata, operasi yang berlangsung selama 12 jam sejak pukul 3 petang itu, disertai oleh 14 anggota dari AADK daerah ini, Padang Terap dan Unit Anti Dadah Sempadan Bukit Kayu Hitam.

“Pada awalnya kami menahan 31 individu berusia antara 18 hingga 56 tahun. Namun seorang daripada mereka dibebaskan setelah ujian urin dijalankan terhadapnya didapati negatif dadah.

“Risikan selama ini mendapati ketiga-tiga rumah tersebut merupakan sarang yang sentiasa aktif sepanjang masa kerana dianggap sebagai kawasan ‘selamat’ untuk menghisap dadah. Keadaan itu menyebabkan mereka tidak langsung menghiraukan penduduk kampung yang lain,” katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine dengan kebanyakan mereka bekerja sebagai penoreh getah, pesawah serta mekanik.

“Kejayaan operasi itu merupakan hasil kerjasama antara kami dengan orang awam yang banyak menyalurkan maklumat tepat. - UTUSAN ONLINE