Mangsa yang berumur 40-an dan pemilik sebuah kilang sabun di Semenyih terpedaya dengan lelaki terbabit yang ko­nonnya menawarkan pelaburan dikenali 'Dana Hibah'.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa telah menyerahkan wang berjumlah RM510,000 kepada suspek melalui dua transaksi pada Jun dan Ogos tahun lalu.

Katanya, selain dijanjikan pulangan sebanyak RM8 juta, mangsa juga akan mendapatkan kembali wang pelaburannya berjumlah RM510,000 itu.

“Suspek mewujudkan 'Dana Hibah' ini kononnya untuk bantu peniaga yang memerlukan modal untuk membesarkan perniagaan.

“Suspek juga mendakwa mempunyai simpanan RM18 juta untuk diagihkan kepada orang yang memerlukan terutamanya peniaga yang ingin membesarkan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar memberitahu, mangsa bagaimanapun rasa tertipu setelah pulangan yang dijanjikan suspek tidak diperoleh dalam tempoh yang ditetapkan.

“Mangsa kemudian membuat satu laporan polis pada 10 Oktober tahun lalu di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

“Namun, laporan terbabit dihantar ke Balai Polis Pandamaran di sini berikutan urusan penyerahan wang kepada suspek berlaku di rumah mangsa di Pandamaran selain secara dalam talian,” ujarnya.

Tambah Shamsul Amar, susulan laporan itu, suspek yang berusia 62 tahun telah ditahan selepas tampil menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan petang semalam.

“Suspek ditahan kerana telah memperdaya mangsa dengan mewujudkan skim pelaburan yang tidak wujud,” jelasnya.

Shamsul Amar bagaimanapun memberitau, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.