Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian membabitkan seorang peniaga berusia 62 tahun dan juruteknik berusia 39 tahun apabila masing-masing menerima panggilan telefon memaklumkan mempunyai hutang tertunggak.

“Mangsa pertama menerima panggilan pada 1 Mei lalu daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai sebuah bank.

“Mangsa menafikan apabila dituduh mempunyai tunggakan pinjaman dan terlibat dalam penggubahan wang haram. Atas arahan suspek, mangsa memindahkan semua wang berjumlah RM167,702.15 ke akaun suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, mangsa kedua juga menerima panggilan pada 30 Mei lalu daripada seorang suspek lain yang menyamar sebagai pihak mahkamah dengan memaklumkannya dikenakan waran tangkap.

“Bimbang atas keselamatan wang simpanannya, mangsa diarahkan memasukkan semua wang berjumlah RM218,060 ke akaun suspek kononnya untuk siasatan.

“Apabila menyedari ditipu, kedua-dua mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE