Dalam kejadian pada 25 November lalu, mangsa yang berusia 50 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Ikmal dan menawarkan pinjaman peribadi kepadanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek mendakwa dia merupakan ejen sah kepada syarikat dikenali Rakan Jaya Enterprise.

“Mangsa yang ingin meminjam RM5,000 kemudian diarahkan membuat pindahan wang berkenaan untuk proses permohonan pinjaman berkenaan," katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, selepas membuat dua transaksi menerusi dua akaun berbeza, mangsa menyedari dia ditipu apabila belum menerima wang pinjaman dijanjikan.

“Bertambah malang, isteri mangsa yang berang dengan kejadian berkenaan bertindak menghalau mangsa dari rumah mereka di Kampung Permatang Tok Labu, Penaga," katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis menasihatkan orang ramai tidak membuat pinjaman menerusi iklan yang disiarkan di dalam laman sesawang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. - UTUSAN ONLINE