S. Theventhiran, 38, dan pemandu peribadi, M. Nagan Kumar, 40, dijatuhi hukuman itu selepas kedua-duanya menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah.

Di hadapan Hakim S. Mabel Muttiah, mereka didakwa merompak tiga telefon bimbit, seutas jam tangan, minuman keras dan barang kemas bernilai RM40,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai Great Son Research di No. 15-1, Jalan USJ 21/3 Subang Jaya dekat sini pada pukul 10 pagi, 26 Januari lalu.

Sementara di hadapan Hakim Norshila  Kamaruddin, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Muhammad Romi Saputra Nazri, 23, dengan merampas seunit telefon bimbit jenama Asus dan wang tunai RM475 dengan menggunakan dua bilah parang yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel, USJ 21, Subang Jaya dekat sini kira-kira pukul 3.45 pagi, 28 Januari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Di hadapan Mabel, kedua-dua mereka dihukum penjara 12 tahun dan sebatan  lima kali bermula tarikh tangkap iaitu 28 Januari lalu sementara di hadapan Norshila, kedua-dua mereka dihukum penjara 10 tahun dan sebatan  dua kali.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani dan Shahzreen Nadia Zulkipli sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE