Pemandu pada awalnya cuba memecut setelah menyedari diekori ketika menuju Renek namun cubaannya gagal setelah kenderaan itu tersekat di jalan mati ketika meredah kebun getah.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Zamri Mohd Rowi memberitahu, pemandu van kepunyaan sebuah syarikat  pengangkutan beralamat di Temerloh itu bagaimanpun berjaya melarikan diri bersama kelindan.

"Setelah membuat  pemeriksaan, anggota RCJ  menemukan sebanyak 50 kotak besar yang di dalamnya berisi rokok berjenama Saat D-Blend," ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya,  anggota RCJ  terserempak dengan van berwarna putih yang mencurigakan datang  dari arah Kampung Raja kira-kira pukul 4.20 pagi, namun pemandunya telah memecut, kemudiannya membelok ke dalam sebuah kebun getah sebelum tersadai, dan meninggalkan kenderaan itu.

Mohd Zamri berkata, siasatan awal mendapati van membawa rokok yang dipercayai diseludup dari sebuah negara jiran itu dalam perjalanan ke Pahang untuk diedarkan kepada peniaga.
 
Tambahnya, hasil rampasan  akan diserahkan kepada pihak  Kastam untuk diambil tindakan selanjutnya.-UTUSAN ONLINE