Menerusi Op Libas kira-kira pukul 10 pagi itu, sepasukan anggota PGA bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga lelaki berusia 21 hingga 65 tahun.

Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, hasil serbuan menemukan 71 kotak mengandungi 5,320 karton rokok disimpan dalam stor berkenaan.

Katanya, sebelum serbuan dilakukan, sepasukan anggota risikan telah menahan dua lelaki menaiki sebuah van membawa muatan 20 kotak minuman keras.

"Susulan penahanan tersebut, anggota saya memperoleh maklumat yang membawa kepada serbuan di stor penyimpanan berkenaan.

"Dua lelaki yang ditahan telah gagal menunjukkan dokumen percukaian sah terhadap minuman keras yang dibawa.

"Nilai rampasan keseluruhan rokok dan minuman keras sebelum cukai dianggarkan sebanyak RM115,425," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PGA Sarawak di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kok Chin memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua rokok tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Jelas beliau, ketiga-tiga suspek yang juga merupakan lelaki tempatan telah ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

"Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda 10 kali ganda daripada nilai duti atau cukai dan tidak melebihi 20 kali ganda daripada nilai duti atau cukai terbabit atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE