Pengarahnya, Aidid Tajuddin berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1 pagi itu, pihaknya menahan sebuah van jenis Toyota Hiace di Jalan Kelantan, Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus dekat sini.

Menurutnya, serbuan tersebut membabitkan rampasan seba­nyak 3,300 karton atau 660,000 batang rokok putih jenama John White dan John F1 melibatkan nilai cukai berjumlah RM421,740 di samping turut menahan seorang lelaki Cina berusia 53 tahun yang memandu van terbabit.

“Dalam serbuan kedua, kita dimaklumkan terdapat sebuah lori tiga tan dipercayai membawa barangan tidak sah melalui jalan di sekitar daerah Marang dan sebaik sahaja tiba di Kampung Merchang, kami dapati kenderaan berkenaan telah terbabas di tepi jalan dengan pemandu melarikan diri manakala kelindan mengalami cedera parah dan dibawa ke hospital.

“Hasil pemeriksaan berjaya merampas 11,700 karton rokok jenama U2 melibatkan nilai cukai berjumlah RM1.49 juta dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Aidid, siasatan awal mendapati, rokok-rokok yang dirampas itu tidak memenuhi spe­sifikasi dibenarkan untuk pasaran tempatan seperti yang diperuntukkan.

Katanya, rampasan itu merupakan yang terbesar tahun ini dan pihaknya masih menyiasat destinasi sebenar edaran rokok berkenaan.

“Pendaftaran van adalah di Johor bagaimanapun siasatan mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala bagi lori pula, kita masih menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya.