Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah memberitahu, serbuan dilakukan oleh sepasukan 10 anggota bersama seorang pegawai pada pukul 4 pagi hasil daripada maklumat orang awam dan risikan berkaitan aktiviti haram tersebut.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 26 hingga 44 tahun ditahan ketika sedang melakukan kerja-kerja memunggah kotak-kotak ke dalam lori, dan di situ pihaknya telah merampas sebanyak

440 karton rokok.

“Ekoran penahanan mereka, pihak polis dengan kerjasama nelayan tempatan telah menemui sebuah bot tanpa awak-awak yang dilabuhkan dalam keadaan mencurigakan tidak jauh dari pantai.

“Setelah mengelidah bot yang dipercayai dari Vietnam itu , pihak polis telah menemui lebih banyak rokok disorok di bahagian kargo dalam bot,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Baharudin, bot tersebut telah diubah suai menyerupai bot nelayan tempatan untuk mengaburi pihak berkuasa, dan dipercayai hanya digunakan khusus untuk aktiviti haram tersebut.

“Bot dicat dengan warna bot tempatan, dan kita percaya rokok tersebut dibawa dari negara jiran untuk dipasarkan di seluruh negeri ini,” katanya.

Tambah Baharudin, bot terbabit kemudiannya dibawa masuk ke jeti pendaratan ikan Kuala Paka, untuk siasatan lanjut.

Katanya, kesemua suspek bersama hasil rampasan telah diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE