Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Filipina tidak seharusnya memberikan sokongan kepada Myanmar yang secara terang-terangan telah mencabuli hak Rohingya, menafikan hak serta membuat pengusiran terhadap etnik berkenaan.

“Rohingya adalah isu kemanusiaan, bukan isu agama Islam. Ada pihak tertentu cuba menjadikannya isu agama sehingga mahu dunia melupakan soal kemanusiaan.

“Ini adalah isu mengenai kelalaian Myanmar untuk melaksanakan peruntukan yang ada di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR),” kata­nya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Serlahan Budi di Sekolah Kebangsaan Ampang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Guru Besar sekolah berkenaan, Dr. Nazirah Mohd. Nordin.

Terdahulu, Filipina dalam satu kenyataan memberitahu, menteri-menteri luar ASEAN mengutuk serangan ke atas pasukan ke­selamatan Myanmar dan mereka menyatakan sokongan ke atas kerajaan pimpinan San Suu Kyi.

Walau bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, Malaysia tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut dan ia tidak dibuat secara konsensus.

Jelas Rais, ASEAN perlu meng­hukum Myanmar di atas kesilapannya terhadap etnik Rohingya termasuk menyingkirkan negara tersebut sebagai ahli ASEAN.

“Myanmar merupakan anggota ASEAN, apa yang dilakukannya sangat memalukan. Sekiranya Myanmar tetap berdegil, ASEAN perlu mengeluarkannya daripada menjadi anggota ASEAN.

“Namun adakah ASEAN berani mengambil tindakan seperti itu termasuk membawa Myanmar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)?” soalnya.

Tambahnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memastikan Myanmar menghentikan kekejaman tersebut dan jawatankuasa Nobel Norway perlu menarik semula anugerah keamanan yang pernah diberikan kepada San Suu Kyi sebelum ini.