Tertuduh, Ahmad Faizal Razab, 35, membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Faizal didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di pusat peranginan Lata Lembik Eco Park, Raub dari pukul 12.30 tengah malam hingga 1 pagi pada 8 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi sama pada pukul 11.30 malam 9 Disember hingga jam 8 pagi 10 Disember lalu ke atas mangsa tanpa kerelaannya.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman tidak kurang 10 tahun penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan ketiga, Ahmad Faizal didakwa melakukan persetubuhan di luar tabii iaitu memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa tanpa kerelaan antara pukul 1 pagi hingga 8 pagi 9 Disember lalu di resort di Lata Lembik Eco Park, Raub.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Salwa Asmary Abdul Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE