Malah, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, empat kes dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM17,880 membabitkan modus operandi yang sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, sindiket tersebut kembali aktif baru-baru ini dan dua warga emas telah menjadi mangsa.

“Mangsa yang merupakan suri rumah itu masing-masing berusia 63 tahun dan 72 tahun, berasal dari Sri Aman dan Betong.

“Kedua-duanya masing-masing mengalami kerugian sebanyak RM2,850 dan RM1,560,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, Mustafa berkata, orang awam dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat individu yang menawarkan pertolongan untuk membantu bagi mendapatkan sebarang bantuan kebajikan. - BERNAMA