Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, dalam kejadian pukul 1.27 petang, mangsa berusia 52 tahun itu menerima sistem pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan bahawa lelaki berkenaan telah melakukan transaksi kad kredit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Mangsa yang pelik dengan SMS diterima berikutan dia tidak memiliki sebarang kad kredit te­lah menghubungi nombor telefon didakwa BNM seperti dinyatakan dalam SMS tersebut.

“Mangsa kemudian bercakap dengan seorang lelaki yang me­ngaku sebagai pegawai penyiasat bernama Tuan Gan dan dimaklumkan bahawa nombor pin akaun mangsa telah digodam dan me­minta mangsa memindahkan kesemua wang simpanannya ke dalam beberapa akaun yang dilin­dungi pihak BNM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Mohammad Azlin, mang­sa yang percaya dengan kejadian tersebut kemudian membuat tujuh transaksi pindahan wang ke dalam empat akaun berbeza se­perti diarahkan oleh ‘pegawai penyiasat’ itu.