Dalam kes terbaharu, seorang pesara guru wanita kerugian RM2.9 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menya­mar sebagai pegawai bank dan pegawai kanan polis sejak tiga bulan lalu.

Penipuan tersebut bermula selepas mangsa berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa sebagai pegawai bank dengan memberitahunya mempunyai tunggakan pinjaman sebelum talian itu disambungkan kepada sebuah ‘ibu pejabat polis’.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, mangsa diminta membayar wang jaminan kerana akaun banknya didakwa terlibat dengan kes jenayah seperti penggubahan wang haram dan wang jaminan itu kononnya bagi membantu ‘membersihkan’ akaun bank tersebut.

“Difahamkan mangsa menye­rahkan nombor pin transaksi perbankan internet termasuk nombor akaun TAC perbankan kepada suspek.

“Semakan yang dilakukan mendapati berlaku 21 transaksi pemindahan wang melibatkan jumlah keseluruhan RM2.9 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini hari ini.

Mangsa menyedari dirinya tertipu selepas mendapati kesemua wang di dalam akaun banknya licin pada awal Mac lalu dan suspek tidak lagi dapat dihubungi oleh mangsa.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan di IPD Pontian. Mang­sa dipercayai mempunyai banyak hartanah dan pelaburan,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Menurutnya, polis kini giat mengesan suspek dan kes tersebut merupakan nilai kerugian tertinggi direkodkan di Pontian setakat ini.