Motosikal jenis Honda EX5 kepunyaan wakil rakyat itu dilaporkan hilang pada 30 Disember lalu sebelum ditemukan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru, Kuala Abang dekat sini malam tadi.


Ketua Polis daerah, Superintendan Baharudin Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, dua lelaki adik beradik berusia 38 dan 41 tahun turut ditahan. 


Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan lanjut polis turut menemukan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang dilaporkan hilang. 


Jelas beliau, penahanan dua suspek itu menjadikan kesemua lima lelaki ditahan dalam serbuan berasingan dalam Ops Lejang yang disertai dua pegawai serta 12 anggota polis bahagian siasatan jenayah daerah ini.


“Dalam ops tersebut, seramai lima lelaki berjaya kita tahan dan sebanyak empat motosikal yang dilaporkan hilang berjaya ditemukan semalam termasuk sebuah motosikal milik Ahli Parlimen Dungun.


“Manakala dua suspek adik beradik terbabit didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE