Perintah lanjut reman dikeluarkan Majistret A. Akhiruddin @ Boy Acho sehingga 30 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek yang sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 17 Mei lalu tiba di mahkamah pada pukul 11.10 pagi, memakai berbaju denim biru, dengan kenderaan polis dalam keadaan tangan bergari.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan minggu lalu di sebuah kafe di pusat beli-belah Cheras Sentral, Cheras, kira-kira 24 jam selepas penemuan mayat Siti Kharina.

Berdasarkan siasatan awal polis di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, suspek adalah individu terakhir yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keluar daripada kediaman mangsa.

Sementara itu, tempoh reman bagi dua lagi suspek, iaitu seorang lelaki Pakistan berumur 38 tahun dan wanita warga Nigeria berumur 35 tahun yang turut ditahan berhubung kes itu turut dilanjutkan bermula hari ini hingga 29 Mei depan.

Siti Kharina, 40, yang dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu ditemukan maut dalam keadaan tidak lengkap berpakaian dengan kesan kelar di bahagian dada, dipercayai dibunuh dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya.

Mayatnya ditemukan oleh pemilik rumah sewa berkenaan selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu sebelum menghubungi polis.

Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada jam 4 petang, Rabu minggu lalu. - UTUSAN ONLINE