Perintah reman bermula esok dikeluarkan Majistret Siti Khariah Abdul Razak terhadap suspek berusia 19 tahun itu selepas permohonan dikemukakan pihak polis di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Suspek yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa diberkas pada hari kejadian pada 24 Mei lalu dan sebelum ini direman tujuh hari yang berakhir hari ini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan mangsa, Nur Alya Damia Hairi, 19, yang merupakan pelajar tahun akhir di kolej berkenaan ditemukan mati di tepi jalan di Taman PD Permata di sini pada pukul 10.30 malam, 24 Mei lalu.

Mayatnya ditemukan oleh seorang lelaki yang membuang sampah di kawasan itu dan pemeriksaan polis menemukan kesan cekik di leher mangsa.

Mangsa dikatakan bertemu bekas teman lelakinya di dalam sebuah kereta Proton Wira di kawasan itu sebelum berlaku pertengkaran yang menyebabkan dia dicekik sehingga mati. Suspek yang ketakutan telah meninggalkan mayat mangsa di tepi jalan tersebut.

Susulan kejadian itu, polis menahan suspek di sebuah rumah di Taman Selasih yang terletak tidak jauh dari lokasi penemuan mayat dan dia disiasat mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan.