Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Siti Nabila Abd. Rahid yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyambung siasatan ke atas keempat-empat lelaki terbabit.

Reman ke atas tiga individu yang berusia antara 34 hingga 58 tahun itu disambung sehingga 22 September ini manakala seorang lagi yang berusia 31 tahun sehingga 21 September.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Selain individu berstatus Datuk itu, tiga suspek lain yang direman adalah setiausaha perbadanan, penolong pegawai kewangan dan pengarah syarikat bergelar doktor.

Kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di ibu negara antara pukul 4.30 dan 6 petang 13 September lalu dalam satu operasi khas yang dilancarkan SPRM.

Difahamkan, siasatan awal SPRM mendapati pada tahun 2016, salah seorang suspek disyaki menyeleweng sebanyak RM15 juta manakala RM25 juta pula pada tahun ini.

Menurut sumber SPRM, kerajaan telah memperuntukkan RM40 juta untuk tahun ini kepada perbadanan itu bagi mengendalikan program-program latihan dan pada tahun 2016, sejumlah RM35 juta turut diperuntukan.

Dana itu diberi kerajaan untuk mengendalikan program-program latihan kemahiran khusus kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan. - UTUSAN ONLINE