REMAJA mangsa culik, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi.
REMAJA mangsa culik, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Zahari Wan Busu berkata, Nur Syaminn Nabila Mohd. Shapawi yang merupakan anak sulung dilaporkan hilang selepas pulang membeli buku sekolah adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Gali pada pukul 11 pagi.

“Mangsa ke sekolah menaiki motosikal kira-kira tiga kilo­meter dari rumah. Semasa tiba di depan rumahnya, datang seorang lelaki menaiki kereta dan mengaku sebagai anggota polis di Balai Polis Sungai Ruan.

“Suspek meminta mangsa menolongnya mengambil motosikal di pekan Sungai Ruan. Mangsa kemudian menaiki kereta bersama suspek dan tidak pulang ke rumah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Zahari, mang­sa kemudian menghubungi ibu­nya kira-kira pukul 3 petang semalam dan memaklumkan berada di Gua Musang, Kelantan sebelum talian diputuskan.

“Mangsa memaklumkan ber­ada di Gua Musang, Kelantan dan sambil menangis dia memberitahu ibunya gelang emas dipakainya diambil lelaki itu sebelum talian diputuskan.

“10 minit kemudian ibu mang­sa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari telefon bimbit anaknya menyatakan jangan bimbang dia selamat,” ujarnya.

Tambah Wan Zahari, kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dan menyamar sebagai penjawat awam.