Mangsa yang 21 tahun dan merupakan penuntut di sebuah kolej di sini dipercayai nekad menjerut lehernya dengan langsir dan menggantung diri di kipas siling biliknya.

Kejadian itu disedari ibu mangsa yang berusia 48 tahun selepas memanggil anak lelakinya itu yang tidak memberikan sebarang maklum balas apabila mengurungkan diri selepas kira-kira 30 minit dimarahi.

Risau dan takut mangsa melakukan sesuatu, ibu remaja tersebut meminta ahli keluarga menghubungi bomba dan polis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang mengatakan terdapat seorang lelaki mengurung diri dalam bilik di rumah.

“Ketika polis tiba di lokasi, kita dapati pihak bomba turut berada di lokasi dan pintu bilik dipecahkan.

“Kita mendapati mangsa menggantung diri dalam bilik dan ambulans juga berada di lokasi kejadian dan mangsa disahkan maut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mengikut keterangan ibu mangsa, sebelum itu berlaku pertengkaran antara mangsa dan ibunya kira-kira pukul 7 pagi tadi kerana sering balik lewat dan tidak mahu mendengar teguran ibu serta kakaknya.

“Pagi tadi dia dimarahi lagi sebelum berkata akan menggantung diri dan jangan menyesal," ujarnya.

Menurutnya, ibu mangsa memaklumkan, remaja itu sebelum ini sering mengugut mahu menggantung diri kerana tidak suka dikongkong.

Beliau berkata, selepas dimarahi mangsa masuk ke dalam bilik dan terus mengurung diri sebelum ibunya memanggil dan menyuruh membuka pintu, tetapi tiada jawapan sebelum menghubungi bomba dan polis.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa mengikat kain langsir ke besi kipas siling dalam bilik tidurnya pada ketinggian kira-kira 3.65 meter dengan diletakkan rak buku di bahagian bawah sebagai tempat melepaskan badannya.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang senjata atau kesan serangan yang boleh dikaitkan dengan kejadian jenayah.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) kerana menggantung diri,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat juga tidak dibuat berikutan pegawai perubatan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), mendapati keterangan daripada ibu mangsa menunjukkan punca kematian disebabkan kesan akibat menggantung diri. - UTUSAN ONLINE