Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, remaja lelaki yang merupakan pekerja di kedai itu masuk ke stor dan berbual dengan rakan sekerjanya berusia 24 tahun sebelum bertindak memukul wanita itu yang sedang mengira wang menggunakan besi dan melarikan wang lebih RM10,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata suspek kemudiannya ditahan oleh orang awam sebaik keluar dari stor berkenaan.

“Pekerja wanita itu mengalami kecederaan di kepala dan badan. Polis turut merampas besi yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan ke atas suspek yang berasal dari Jertih, Terengganu itu didapati negatif dadah dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - BERNAMA