Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, mangsa berusia 24 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala, leher dan belakang badan akibat dipukul oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, sebelum kejadian suspek sempat berbual dengan mangsa yang sedang membuat kiraan wang di stor kedai serbaneka tersebut.

“Selepas itu mangsa telah keluar menuju ke kaunter dan beberapa minit selepas itu ketika wanita tersebut kembali ke stor, suspek terus menutup pintu dan memukul mangsa dengan menggunakan besi di tempat kejadian.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan wang namun orang awam yang menyedari kejadian itu bertindak menahan remaja tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zani berkata, pihak berjaya menemukan semula wang tunai RM11,178 selain batang besi yang digunakan suspek untuk memukul mangsa.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan. - UTUSAN ONLINE