Bagaimanapun kegiatan pelajar sebuah kolej vokasional dalam bidang Automotif itu tidak bertahan lama apabila dia dicekup di rumahnya di Jalan Kampung Binjai dekat Cherok To’Kun Atas pada pukul 12.30 tengah malam hasil maklumat orang awam.
 
Ketua Polis daerah SPT Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, remaja berusia 17 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan itu di Stesen KTMB Bukit Mertajam di sini sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah itu kemudiannya menemukan empat rangka motosikal jenis Honda EX5, EX5 Class dan Honda C70 dengan dua daripadanya telah terganggu nombor casis.

“Remaja terbabit yang tidak memiliki rekod jenayah lampau mengaku telah mencuri motosikal terbabit setiap kali tiada kenderaan untuk pulang ke rumah sejak beberapa bulan lalu.

“Dia yang masih belajar di sebuah kolej vokasional dalam jurusan Automotif kini direman sehingga esok untuk disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE