Perbuatan kejam suspek berusia 33 tahun terbabit terbongkar apabila dia cuba membuang mayat pelajar tingkatan satu yang mati dicekiknya itu ke kawasan semak berhampiran Jalan Miri Port di sini sebelum ditahan polis kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jena­yah Sarawak, Datuk S. Dev Kumar berkata, suspek yang be­kerja di sebuah kilang perabot berasal dari Kuala Lumpur, tinggal di rumah sewa berkenaan bersama mangsa dan seorang kakaknya serta ibu kepada dua beradik itu yang merupakan teman wanitanya.

Beliau berkata, semasa tinggal berdua di rumah selepas ibu dan kakaknya keluar bekerja kira-kira pukul 11 pagi semalam, suspek dan mangsa bertengkar.

“Dalam pertengkaran itu, suspek bertindak mencekik mangsa sehingga mati dan memasukkan mayat remaja perempuan itu ke dalam but kereta Proton Iswara Aeroback miliknya untuk dibuang bagi mengelak perbuatan jenayahnya terbongkar.

“Walau bagaimanapun, suspek tidak sempat membuang mayat mangsa apabila terserempak dengan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) semasa sedang berhenti di tepi jalan berhampiran kawasan semak di Jalan Miri Port,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dev Kumar berkata, melihat keadaan suspek yang mencurigakan, anggota MPV terbabit menghampirinya untuk membuat pemeriksaan, namun lelaki terbabit bertindak memecut laju kereta untuk melarikan diri.

Namun, katanya, lelaki terbabit berjaya ditahan selepas kira-kira 30 minit dikejar anggota MPV berkenaan.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, anggota polis menemukan seorang remaja perempuan yang memakai baju seragam putih dan kasut sekolah serta seluar pendek hitam dalam but kereta tersebut," katanya.

Beliau berkata, pihak ambulans yang tiba di tempat kejadian kemudian mengesahkan mangsa merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau di sini, sudah meninggal dunia.

Dev Kumar berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala mayat mangsa dihantar ke Hopital Miri untuk dibedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengumpul bahan bukti dan mengenal pasti punca perbalahan mangsa dengan teman lelaki ibunya itu sehingga mengakibatkan suspek bertindak membunuh remaja berkenaan.