Dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang itu, polis terpaksa memecahkan pintu rumah sebelum menahan empat lelaki yang berada di dalam sebuah bilik sebelum menemukan seorang lelaki dan seorang perempuan di dalam bilik lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dibuat menemukan 16 paket plastik lutsinar yang berisi hablur kristal disyaki methaphetamine dengan anggaran berat 10.71 gram (g) serta alatan menghisap dadah di dalam sebuah bilik.

“Seterusnya pemeriksaan di sebuah bilik lain menemukan 18 paket plastik lutsinar yang berisi hablur kristal disyaki methaphetamine dengan anggaran berat 12.75 g, tiga biji pil WY, alat penimbang digital serta alatan menghisap dadah.

“Ujian air kencing ke atas kelima-lima suspek lelaki yang berusia antara 17 hingga 27 tahun itu positif dadah manakala suspek perempuan berusia 19 tahun tidak terlibat dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, nilai semasa dadah jenis methaphetamine itu adalah RM3,519 manakala pil WY dianggarkan bernilai RM45.

Nik Ros Azhan menjelaskan, kesemua mereka kini ditahan reman selama empat hari sehingga 19 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE