Kesemua mereka ditahan dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi ibu pejabat polis kontinjen (IPK) negeri bermula tengah malam tadi hingga pukul 5 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, semua lelaki berusia antara 17 hingga 29 tahun itu direman pagi tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Kita akan melalukan operasi ini dari semasa ke semasa dan menyeru semua pemandu berhati-hati ketika berada di jalan raya.

“Ini kerana perbuatan memandu secara melulu akan mengundang bahaya kepada diri sendiri serta risiko terhadap pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa menitikberatkan pengawasan terhadap anak-anak supaya tidak terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat.

Kata beliau, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan lebih proaktif bagi membanteras dan memberi kesedaran terhadap pengguna jalan raya berkaitan kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya.

“Pada masa sama, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tidak sihat atau sebarang maklumat jenayah lain, boleh menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPU atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE