Itulah penderitaan yang dihadapi oleh seorang remaja pe­rempuan berusia 16 tahun yang dirogol dan didera oleh abang angkatnya di sebuah flat di Kajang dekat sini sejak Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusof (gambar)berkata, mangsa yang tidak bersekolah itu dan teman lelakinya dikatakan menumpang di rumah suspek sejak Januari lalu sebelum dibawa ke Melaka selama beberapa bulan hingga Jun lepas.

Menurutnya, pada Julai lalu, suspek membawa mangsa serta teman lelakinya bekerja di sebuah kedai besi buruk di Bandar Teknologi dekat sini.

“Sejak bekerja di kedai suspek, remaja berkenaan dan teman lelakinya sering dipukul dan didera sekiranya melakukan kerja yang tidak memuaskan hati suspek.

“Malah, mangsa juga dirogol beberapa kali oleh suspek serta dipaksa melakukan seks oral dengan isteri suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, tambah Ahmad Dzaffir, teman lelaki mang­sa melarikan diri bulan lalu sebelum mangsa turut berjaya melarikan diri dengan bantuan seorang lelaki yang tidak dikenali kira-kira pukul 12 tengah hari, 3 Oktober lalu.

Jelasnya, mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan dan didapati terdapat ke­san koyakan lama pada kemaluan mangsa.

“Terdapat juga kesan parut dan luka di telinga kanan, leher, belakang badan dan kaki mang­sa dipercayai akibat dipukul.

“Kita sedang giat memburu kedua-dua suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376/324 Kanun Keseksaan,” katanya.