Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa yang juga pelajar sekolah berusia 14 tahun keluar bersama salah seorang suspek yang juga rakan sekolahnya lewat malam semasa hari kejadian.

Katanya, mangsa pada mulanya bersetuju untuk keluar makan dan bersiar-siar, namun suspek bertindak membawanya ke sebuah pangsapuri sebelum dirogol bersama dua lagi rakannya.

“Mangsa juga mendakwa telah diugut oleh salah seorang suspek untuk disebarkan rakaman bogelnya sekiranya enggan menuruti kemahuan mereka,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Anbalagan, laporan polis mengenai kejadian yang berlaku sekitar bulan Julai itu kemudian dibuat kira-kira pukul 10.06 malam kelmarin.

Katanya, hasil soal siasat terhadap mangsa mendapati, remaja perempuan itu tidak mempunyai teman lelaki dan itu merupakan kali pertama dia melakukan hubungan seks.

Beliau berkata, mangsa juga tidak pasti mengenai kewujudan rakaman video yang didakwa oleh suspek kerana tidak pernah melihat video tersebut.

“Ketiga-tiga suspek merupakan pelajar tingkatan lima yang belajar di sekolah yang sama iaitu di Bayan Lepas dan akan menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tidak lama lagi.

“Mereka kini direman sehingga Isnin ini selepas ditahan sejak awal pagi semalam,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dalam pada itu, Anbalagan turut menasihati ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. - UTUSAN ONLINE